Assalamualaikum wbt , Selamat Pagi , salam sejahtera & Salam 1 Malaysia.
Pagi ne saya nak share sedikit ilmu buat semua pembaca ,
Saya juga percaya bahawa ilmu ne patut dikongsikan untuk menambahkan sedikit knowledge,
saya rasa x laa untuk knowledge but kita kena tau laa serba sedikit tentang kesenian yang terdapat di Bumi Malaysia kita ini .
Khususnya tentang kesenian & kebudayaan yang telah wujud sejak nenek moyang kita lagi.
Semestinya , kesenian yang adaa amat unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri.
kita mesti la memartabatkannya serta menjaga kesenian ini , Walaupun lama , tetapi warga remaja seperti saya sndiri mesti tahu agar tidak luput ditelan zaman.
Namun , mengetahui & memahami tentang kesenian bukan laa yang terdapat didalam negeri kelahiran kita sahaja tetapi seluruh negeri yang terdapat di Malaysia.
Saya yakin anda semua bersetuju dengan pendapat saya di atas , ^^
Oke , sebenarnya saya baru nak mulaa , yang tadi tuh intro sajaa ..
Tarik nafas dulu , & teruskan membaca ...
Oke , saya rasa anda semua sudah bersedia , saya dah penat bercaloteh..
Saya nak mulakan lah ne ,
Seperti yang saya perna beritau dgn pembaca semua , saya adalah pelajar tingkatan 6 bagi sistem baharu , iaitu Sistem Modular yang mempunyai 3 Penggal.
Alhamdulillah , saya telah memduduki 2 Penggal dalam tahun 2012 dan 2013..
Untuk pengetahuan anda semua saya telah menduduki peperiksaan subjek sejarah dalam penggal pertama & mengambil bahagian dalam Kerja Kursus Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam subjek Sejarah.
Yang telah ditetapkan oleh Majlis Pelajaran Malaysia (MPM).
Oleh itu , daripada empat tema yang telah ditetapkan oleh pihak MPM , saya telah memilih tema kebudayaan dan Kesenian.
Walaupun negeri kelahiran saya di Sabah , tetapi saya berminat untuk menjalankan penyelidikan tentang kesenian dan kebudayaan Tarian Kuda Kepang di Johor.
Dibawa ini merupakan kertas kerja dan esei ilmiah yang telah saya buat dalam 4 bulan pertama dalam tahun 2013.
kertas kerja dan esei ilmiah ini boleh dijadikan rujukan kepada pelajar yang bakal menduduki kerja Kursus PBS ini , dari segi struktur esei ,format kertas kerja , dan lain-lain.
KERTAS KERJA.
Sejarah Perkembangan dan Misteri
Kesenian Tarian Kuda Kepang di Johor pada tahun 1950 sehingga tahun 1955
Pengenalan
Tarian
Kuda Kepang sungguh sinonim di kalangan rakyat negeri Johor , tarian ini juga
merupakan simbol kedaulatan negeri Johor sejak zaman dahulu lagi. Menurut Naim Marjani, (pengiat seni kuda kepang sinar
warisan) permainan kuda kepang mula bertapak di Batu Pahat, Johor sekitar tahun
1940-an Namun, asal usul kuda kepang ini tidak dapat diketahui. Hanya terdapat
beberapa teori yang berkaitan dengan asal-usul tarian ini , iaitu , Pada tahun
1920-an bertepatan dengan sejarahnya yang menyatakan bahawa ia berasal dari
Jawa Timur. Ia dibawa masuk oleh
masyarakat Jawa yang berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang tanpa
banyak pengubahsuaian. Hasil daripada penghijrahan ini,masyarakat dari jawa
telah membawa kesenian mereka masuk ke dalam negeri ini iaitu kuda kepang.
Selain itu , Ada yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali. Untuk meniru gerak langkah bala tentera Saidina Ali maka lahirlah tarian kuda kepang. Seperti peristiwa peperangan yang dilalui Rasulullah SAW dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian. Ada pula berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas persembahan dilakukan.
Pendapat
lain pula seperti , menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan.kuda
kayangan bernama Kuda Sembrani kononnya
dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa
mereka menari-nari keseronokan. Jelaslah asul-usul kuda kepang ini tidak dapat
disahkan tahun kewujudannya.
Objektif
Kajian
Kajian ini bermatlamat
untuk :
a) Mengenal pasti ciri-ciri
dan peralatan muzik yang ada dalam
Tarian Kuda Kepang
b) Mengkaji misteri
disebalik tarian Kuda Kepang di Johor, meliputi pantang larang dan kelakuan
yang aneh penari-penari tarian tersebut
c) Meneliti
perkembangan yang dialami oleh kesenian Tarian Kuda Kepang di Johor.
d) Menyenaraikan
pertubuhan-pertubuhan yang wujud bagi memelihara kesenian Tarian Kuda Kepang
daripada luput diingatan rakyat Johor.
Permasalahan
Kajian
Kajian
ini akan meneliti perkembangan yang dialami oleh kesenian Tarian Kuda Kepang di
negeri Johor pada tahun 1950 hingga 1955 .
Walaupun Tarian ini tidak mempunyai banyak perkembangan dari masa ke
semasa dari segi pakaian , seni tari , alat muzik , mahupun perkembangan bentuk
kuda-kuda yang diperbuat dari anyaman . Namun , persoalannya ialah tarian ini
amat popular dan diminati semua peringkat umur dikalangan rakyat negeri Johor ,
dan tarian ini sering di tari kan dimajlis-majlis keramaian. Oleh itu, penulis
akan membincangkan sebab-sebab tarian ini mendapat sambutan yang amat baik .
Seterusnya,
tarian Kuda Kepang ini telah menarik minat banyak masyarakat , sehingga
menubuhkan pelbagai pertubuhan-pertubuhan yang memberi galakkan kepada
anak-anak muda untuk menceburi tarian ini sekali gus memelihara tarian Kuda Kepang sebagai warisan budaya
negeri Johor. Penulis akan menyenaraikan pertubuhan dan sebab mereka memelihara
warisan tarian Kuda Kepang ini.
Apakah
misteri disebalik tarian Kuda Kepang? yang menyebabkan penari-penarinya boleh
bertindak luar kawalan , apabila melanggar pantang larang yang sudah ditetapkan
oleh bomoh. Adakah disebabkan mantera yang dibaca oleh bomoh , yang menyeru
roh-roh kuda kepang untuk menikmati sajian atau yang dikenali sebagai pengeras.
Walau apapun jawapannya , yang pasti tarian kuda kepang mempunyai keunikan
tersendiri.
Skop
Kajian
Dalam
kajian ini akan tertumpu kepada perkembangan tarian kuda kepang dari tahun 1950
sehingga 1955 , walaupun perubahannya tidak begitu ketara , namun perubahan
yang wujud memberi impak yang besar dalam tarian ini , kerana tarian kuda
kepang ini merupakan peninggalan orang-orang terdahulu yang seharusnya
dipelihara agar tidak ditelan zaman kelak. Dalam pada itu , terdapat juga
pertubuhan-pertubuhan yang wujud untuk meneruskan kegiatan tarian Kuda Kepang
ini. Selain itu , dalam kajian ini juga akan mengupas sejarah misteri yang
terdapat didalam tarian Kuda Kepang , iaitu memuja roh-roh kuda kepang , dan
pantang larang yang harus dipatuhi bukan sahaja para penari malahan penonton
juga harus mematuhinya bagi menjaga keselamatan diri sendiri.
Sorotan
Kajian Lepas
Dalam mengkaji sejarah Kuda Kepang ini , terdapat
beberapa kajian lepas yang telah dibuat berkaitan dengan kajian ini. Antara
buku yang turut mengkaji tentang tarian Kuda Kepang ini ialah , yang pertama
buku yang ditulis oleh Iman Ahmad dalam bukunya yang bertajuk Persembahan ,
menceritakan tentang asal usul tarian kuda kepang , dan ciri-ciri utama yang
terdapat dalam tarian tersebut seperti alat muzik , bilangan penari , dan
pakaian yang digunakan.
Seterusnya , menurut Muhammad Ghouse Nasruddin dalam
bukunya iaitu Muzik Tradisional Malaysia , menyatakan muzik yang dimainkan
dalam tarian Kuda Kepang , mempengaruhi tingkah laku dan pergerakkan penari
dalam tarian tersebut , semakin rancak alat muzik yang dimainkan , penari akan
semakin bertindak liar. Tambahan pula, dalam tarian ini mempunyai pengaruh dari
roh-roh kuda kepang yang diseru oleh bomoh.
Selain itu, terdapat buku yang diterbitkan khas untuk
menceritakan tentang tarian ini iaitu bertajuk Siri Anjung Pewaris Seni, Tarian
Kuda Kepang. Dalam buku tersebut , menceritakan keseluruhan tentang tarian ini
, dan memberi impak yang besar dalam kajian saya. Sehubungan dengan itu, buku
ini turut menyatakan terdapat perubahan kecil dalam tarian Kuda Kepang , namun
masih mengekalkan tradisi yang dahulu.
Dalam
buku yang bertajuk Tradisi dan Budaya yang ditulis oleh Zakiah Harun pula turut
memberi kenyataan bahawa tarian Kuda Kepang ini telah berkembang di negeri
Johor dan sering dipersembahkan dimajlis
keramaian seperti perkahwinan, berkhatan dan majlis tertentu kerana tarian tersebut merupakan simbolik di
negeri Johor. Dalam buku Seni Tari yang ditulis oleh Sharifah S. juga memberi
kenyataan yang sama , dan terdapat badan pertubuhan yang menerapkan tarian ini
kepada generasi muda agar tidak pupus ditelan zaman.
Kaedah
Kajian
Kaedah kajian yang saya
gunakan adalah :
a)
Kajian Perpustakaan
Perpustakaan
Wilayah Sandakan dan Pusat Sumber Sekolah Menengah Kebangsaan Sandakan,
Sandakan.
b)
Temubual ( telefon )
Menemubual responden melalui telefon.
c)
Kajian Atas Talian
Mencari
maklumat melalui laman-laman web yang berkaitan dengan kajian.
Pembahagian
Struktur Esei
Latihan ilmiah
ini mengandungi empat bahagian yang utama. Didalam dalam bab pertama ianya
lebih kepada pengenalan yang mengandungi gagasan idea secara keseluruhan kajian
yang dijalankan. Ianya meliputi latar belakang kajian, pernyataan masalah ,
persoalan kajian, objektif kajian ,
sorotan kajian lepas , skop kajian , dan kerangka.
Dalam bab dua pula adalah berkaitan dengan tubuh esei . Kajian
ini merangkumi semua ciri-ciri dalam Tarian Kuda Kepang .Aspek-aspek ini
termasuklah asal-usul,misteri di sebalik tarian tersebut, pantang larang
,pakaian, tarian dan alat-alat muzik. Dengan disertakan maklumat penting,
gambar rajah dan sebagainya agar selaras dengan matlamat dan objektif kajian
ini.
Sementara ini dalam bab tiga pula ialah kesimpulan Keunikan
yang terdapat di dalam Tarian Kuda Kepang ini merupakan warisan dari
orang-orang terdahulu yang seharusnya dipelihara agar tidak luput ditelan
zaman. Oleh itu, pertubuhan bagi mendedahkan tarian ini kepada generasi mudah
adalah digalakkan
Manakala dalam bab keempat pula iaitu kesimpulan bagi Tarian
Kuda Kepang. Ini membuktikan bahawa terdapat pelbagai misteri yang unik telah menarik minat warga Johor untuk
menerima tarian ini , sehingga menjadi warisan budaya yang seharusnya
dipelihara. Walaupun banyak halangan yang diterima daripada pihak berwajib, kerana tarian ini membawa aksi yang akan
membahaya kepada penari-penarinya.
Penutup
Sebagai kesimpualannya, Tarian kuda
kepang merupakan warisan kesenian negeri johor yang unik dan amat bernilai,
seharusnya dipelihara dan diteruskan oleh generasi akan datang meskipun zaman
berubah mampu merubah budaya seni kuda kepang seterusnya luput dari ingatan
anak muda negeri johor.
PENGENALAN
Tarian
Kuda Kepang sungguh sinonim di kalangan rakyat negeri Johor , tarian ini juga
merupakan simbol kedaulatan negeri Johor sejak zaman dahulu lagi. Namun, hanya
terdapat beberapa teori yang berkaitan dengan asal-usul tarian tersebut. Jawa timur
merupakan asal sebenar bagi tarian kuda kepang dari tahun 1920-an. Ia dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang
berhijrah ke negeri Johor dan kekal hingga sekarang. Menurut Naim Marjani atau
dikenali wak naim iaitu pengiat seni Kuda Kepang Sinar Warisan berpendapat “kuda
kepang mendapat nama daripada kuda anyaman yang disebut ‘kepang’ dalam bahasa
jawa”.
Selain
itu , [i]Ada
yang berpendapat asal usul tarian ini ada kaitan dengan Saidina Ali, tarian
kuda kepang lahir kerana ingin meniru gerak langkah bala tenteranya. Seperti
peristiwa peperangan yang dilalui Rasulullah SAW dan para sahabat disampaikan
dalam bentuk tarian. [ii]Ada
pula berpendapat yang mengaitkan asal usulnya dengan Wali Songo atau Wali
Sembilan yang hidup di Tanah Jawa pada abad ke-15. Dalam usaha mengembangkan
Islam di kawasan pedalaman di Jawa,Wali Songo menghadapi kesulitan untuk
mendekati orang-orang di sana. Beliau mendapat idea untuk menari-nari sambil
menunggang kuda. Penyampaian syariah Islam akan dilakukan sebelum atau selepas
persembahan dilakukan.
Pendapat
lain pula seperti , menghubungkan asal usulnya dengan alam kayangan. kuda
kayangan bernama Kuda Sembrani kononnya
dikatakan turun di Jawa untuk mencari kawannya yang hilang. Setelah berjumpa
mereka menari-nari keseronokan. Jelaslah asul-usul kuda kepang ini tidak dapat
disahkan tahun kewujudannya.
ISI-ISI
Ciri-ciri
Kuda Kepang
Tarian kuda kepang merupakan salah satu tarian
rakyat di Malaysia. Jika di negeri Pantai Timur Semenanjung terkenal dengan
tarian Mak Yong, tarian Joget dan tarian
Kuda Kepang pula mendapat tempat di hati rakyat Johor. Tarian Kuda
Kepang mempunyai beberapa ciri yang unik dan berbeza daripada tarian yang
terdapat di Malaysia. Antaranya ialah , [iii]Kuda
kepang tersebut diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang
diwarnakan untuk menjadi lebih menarik dan
berbentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Kuda kepang juga biasanya
berwarna hitam dengan bulu tengkuk berwarna kuning. Perbezaan antara kuda
kepang betina dan jantan juga dapat dilihat daripada bentuk ukiran dan corak
warna yang terdapat pada kuda kepang tersebut , menurut Wak Naim “biasanya kuda
kepang jantan akan berwarna hitam dan hujung belakangnya lurus kebawah ,
manakala kuda kepang betina pula akan melengkuk dibelakang sebelum kebawah.”
Gambar 1 : Anyaman Kuda Kepang betina.
Gambar 2 : Anyaman Kuda Kepang jantan.
Dalam sebuah persembahan, tarian
Kuda Kepang memerlukan [iv]25
orang iaitu seorang sebagai ketua (danyang) iaitu penjaga atau gembala kuda
kepang yang menggunakan cemeti untuk mengawal gerak tari serta tingkah laku
penunggang kudanya, 9 hingga 10 orang sebagai penari, dua orang sebagai ‘bomoh
pemulih’ dan selebihnya sebagai penjaga kawasan. [v]Lazimnya,
sebuah persatuan mempunyai ahli seramai 40 orang. Kostum yang digunakan para
penari adalah unik kerana pakaian penari
kuda kepang menggunakan pakaian tradisional Jawa kuno seperti lengkap memakai
tengkolok dan memakai kain samping. Dua jenis tengkolok yang digunakan iaitu tanjak
jawa dan tanjak Melayu. Menurut Wak Naim “Kedua-dua tanjak ini dapat dibezakan
melalui cara mengikatnya”. Manakala seluar bagi penari dijahit dengan
menggunakan batik jawa.
Gambar 3 :
pakaian lengkap penari Kuda Kepang.
Manakala
peralatan yang digunakan dalam tarian kudang kepang, yang pertama ialah
peralatan yang sangat penting iaitu[vi] 9
hingga 10 kuda yang diperbuat daripada kulit lembu dan dibentukkan menyerupai
kuda dan diwarnakan merah, putih atau kelabu. Yang kedua ialah satu unit Pecut
yang diperbuat daripada kedua-dua buluh dan tali yang dipintal menjadi satu.
Fungsi pecut adalah untuk mengarah dan mengawal permainan, iaitu penari-penari
kuda kepang. Yang ketiga ialah[vii]
serantai tali yang panjang berukuran 100 kaki iaitu 30 meter. Tali tersebut
digunakan untuk membuat pagar bagi mengelakkan penari-penari yang mabuk
daripada berkeliaran serta untuk memudahkan bomoh mengawal tarian.
Gambar 4 : Pecut yang
digunakan untuk mengawal para penari.
Alat Muzik
Seterusnya,
alat muzik adalah komponen yang sangat penting dalam
seni tari kuda kepang , kerana muzik yang dimainkan membawa pengaruh besar dalam penghayatan para
penari semasa membuat persembahan. Wak Naim menyatakan. “Rentak muzik yang amat unik boleh membuatkan penari
Kuda Kepang terlalu asyik sehingga membawa mereka ke suatu alam lain”. Antara
alat muzik yang digunakan dalam tarian
kuda kepang ialah [viii]lima
unit Angklung yang digunakan untuk memainkan mode rithme sebagai pelengkap
kepada ensembel yang lain. Alat muzik Angklung
adalah untuk melaraskan melodi dalam jarak diantara satu sama lain. Angklung
yang berbentuk segi empat yang diperbuat daripada buluh dan rotan. Tradisi
kesenian muzik angklung yang berkembang di Malaysia dipercayai berasal dari
Tanah Jawa, Indonesia.
Gambar 5 : Angklung
[ix]
Sebuah gendang yang merupakan sejenis alat muzik yang mempunyai bingkai kayu
dan tertutup dengan belululang pada kedua permukaan. . Kedua-dua permukaan
ditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing Gendang berbentuk bujur dan
panjangnya berukuran tiga kaki dengan saiz kedua-dua permukaan yang berbeza..
Gendang tersebut biasanya dimainkan secara duduk, dengan gedombak diletakkan di
atas sila. Alat ini digunakan untuk
persembahan kuda kepang Gendang adalah alat penting di dalam memimpin rentak
bunyian baik rendah ataupun tinggi.
Gambar 6
: Gendang
Beberapa
unit gong iaitu sebagai pengiring muzik. [x]Gong dibuat
daripada perunggu berbentuk bulat, tepinya melengkong ke bawah, berongga di
dalam dan cembul di tengah-tengah bahagian permukaannya. Gong berperanan
penting sebagai bunyi tulang belakang dalam sesuatu persembahan dan alat utama
dalam upacara khas dan persembahan muzik tradisional. Alat ini terdiri daripada
pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza setiap satunya dan
dimainkan bersama-sama mengikut rentak lagu. Alat ini berkualiti tinggi kerana
cara pembuatannya adalah sukar dan memerlukan kos yang agak tinggi
Gambar
7 : Gong
Beberapa unit bonang atau keromong iaitu
gong-gong kecil yang diletakkan secara mendatar diatas tali dan kotak kayu. Terdapat
sepuluh atau dua belas biji bonang yang diatur dalam dua baris dan diletakkan
disetiap kotak kayu masing-masing.[xi]
Satu baris bonang tersebut mempunyai tangga nada yang tinggi, sementara satu
baris bagi tangga nada yang rendah. Bonang dimainkan dengan menggunakan dua
pemukul kayu yang dibalut dengan kain merah pada hujungnya.
Gambar 8 : Bonang atau keromong.
[xii]Sebuah
jidur yang diperbuat daripada batang kelapa berongga dan kedua-dua permukaan
berukuran lilit yang sama diditutup dengan kulit lembu atau kulit kambing.
Jidur berbentuk tong kecil setinggi anggaran 16 inci. Dipalu menggunakan dua
batang kayu untuk memainkanya.
Gambar 9 : Jidur
Sebuah
Kenong yang mempunyai satu set alat yang menyerupai gong tetapi lebih nipis dan
bulat berbanding gong. Kenong diletek diatas dan diikat pada kayu yang
diperbuat daripada kayu keras untuk menghasilkan nada merdu setelah diketuk. Alat
pengetuk kenong terdiri daripada kayu dan tali yang dililit pada bahagian atas
kayu tersebut. Kenong dimainkan dengan cara mengetuk sekali setiap not lagu.
Peranannya adalah untuk mengeluarkan bunyi yang lebih lembut daripada bunyi
dihasilkan oleh gong.
Gambar 10 : Kenong
[xiii]
Sebuah Soron Pekin, jika dilihat dari segi fizikalnya, saron pekin mempunyai
bilah yang berukuran lebih kecil tetapi lebih menebal jika dibandingkan dengan
bilah yang ada pada saron penerus. Alat pemukul bagi saron pekin juga berbentuk
penukul yang diperbuat daripada tanduk kerbau.
Gambar 11 : Soron Pekin.
Misteri Tarian Kuda Kepang
Keunikan tarian kuda kepang amat
terserlah dengan misteri yang terdapat
dalam tarian ini , terdapat pelbagai perbezaan yang dilakukan melalui kaedah-kaedah, dan pantang larang dalam tarian ini , yang membezakannya ialah
apa yang dipelajari daripada guru-guru yang terlibat. Walaupun berbeza, namun
umumnya ia hampir sama, iaitu melibatkan sajian, pemujaan, tarian, iringan alat
muzik dan patung-patung kuda kepang yang digunakan ketika menari. Terdapat
beberapa bahagian dalam misteri kuda kepang ini, iaitu persembahan, pantang
larang dan sajian iaitu pengeras.
(a) Persembahan Tarian
Persembahan
merupakan peringkat pertama dalam tarian kuda kepang , menurut Wak Naim “persembahan akan berlangsung secara
maraton iaitu berlarutan sehingga beberapa jam dan pernah juga berlaku
persembahan yang bertahan hanya beberapa minit apabila penunggang kuda berkelakuan
liar dan pertunjukan terpaksa dihentikan dengan serta-merta”. Dalam konteks ini,
Tok Bomoh atau pawang akan memainkan peranan yang penting untuk memulakan
sesebuah persembahan atau membuka gelanggang. Kebiasaannya [xiv]persembahan
akan dilakukan di tempat yang terbuka atau di atas pentas yang besar yang berukuran
40 dengan 60 meter. Sajian atau sajen dalam bahasa Jawa seperti telur
mentah,bunga,rumput dan air adalah sajian mudah yang digunakan pada masa
sekarang berbanding dengan masa dahulu seperti kain putih,benang,jarum,bunga
kenanga,kelapa muda,pisang emas,bedah,minyak wangi,dan duit, yang akan
digunakan oleh Tok Bomoh dengan membakar kemenyan dan membaca jampi untuk
memberi tenaga kepada kuda-kuda. Tok Bomoh akan menjemput roh kuda untuk datang
bersama menjayakan tarian yang akan dipersembahkan. Di bawah ini merupakan
sebahagian mentera membuka gelanggang dalam bahasa jawa.
[xv]"AssalamualaikumYa
Nini Dayang, Kiki DanyangSeng manggoni kawasan ikiAku jalok sawap
pandanganneYo, yo. ya Allah, ya AllahAku dikongkon bukak gelanggang ikiBiso
podo selamat kabehWong seng main jarangsemberani ikiKabeh sak enengiYa yo, ya
Allah, ya AllahBi `s-mi `llahi `r-rahmani `r-rahimKerusi belakangku, mutu jalil
dipangkuKadimu kananku, kan juga naiiranya empatOjo merosak, ojo membinasa ahli
kumpulan aku".
Maksud jampi tersebut ialah meminta
izin kepada makluk-makluk halus yang menghuni tempat berkenaan semasa membuat
persembahan tersebut, untuk memohon agar makluk tersebut tidak marah dan
dipanggil untuk menikmati sajian yang dihidang dan memohon kepada makluk halus
agar melindungi mereka yang terlibat dengan permainan kuda kepang, para
penonton yang datang menyaksikan persembahan, juga agar makhluk ini meresap
dalam tubuh para penari membolehkan menari tarian kuda kepang.
Wak
Naim menyatakan “jika upacara membuka gelanggang gagal dilakukan mungkin
sesuatu yang tidak diingini akan menimpa para pemain dan juga penontonnya.” Seterusnya,
Gong dipukul tiga kali diikuti oleh alunan muzik lain menandakan isyarat bahawa
persembahan sedia untuk bermula. Seorang danyang atau penjaga masuk ke
gelanggang untuk menentukan rentak tarian,setiap penari akan naik ke atas kuda
masing-masing. Semasa muzik mula bergema, penari-penari yang dipimpin oleh
danyang itu masuk ke gelanggang. Pada mulanya ,rentak muzik agak perlahan dan
membosankan. Setiap penari akan menunggang dan memacu kuda mengikut pola yang
ditentukan oleh rentak dan irama lagu yang dimainkan.
[xvi]Ketika
muzik menjadi semakin pantas, para penari akan menari dengan lebih pantas. Satu
perkara yang menarik di dalam tarian ini ialah kerana terdapat beberapa orang
penari akan naik syeikh atau mabuk setelah persembahan rasmi tamat. Kekadang
pihak penganjur akan merentang kain licik untuk pemain menitinya. Penari yang
naik syeikh akan terpisah daripada kumpulannya. Mata mereka yang berada dalam
keadaan ini berkilauan, tidak boleh bercakap, manakala pergerakan dan kelakuan
mereka menyerupai kuda.Hakikatnya, situasi seseorang penari itu bergantung
kepada kekuatan roh juga niat atau azam diri. [xvii]Mereka
yang ‘naik syeikh’ ini boleh melakukan gerak geri yang luar biasa dan pasti
tidak dapat dilakukan dalam keadaan normal contohnya melompat setinggi enam
atau tujuh kaki, meniti diatas sebatang buluh atau kayu licin ataupun seutas
tali, mengupas kelapa dengan gigi, dan menjilat parang yang panas.
Tidak
semua penari berada dalam keadaan lupa atau naik syeikh. Mereka yang tetap
dalam keadaan normal akan memberhentikan tariannya lalu duduk berehat di tepi
gelanggang, atau membantu bomoh menjaga penari lain yang berada dalam keadaan
lupa daripada merempuh keluar gelanggang atau melakukan aksi yang boleh
memudaratkan orang lain atau diri sendiri.Penari yang sedang naik syeikh mesti
dipegang kuat oleh beberapa orang pengawal bergantung kepada kekuatan penari
yang terus-menerus bergerak menurut alunan muzik yang dimainkan.
Semasa
penari-penari sedang naik syeikh, bunyi-bunyian yang mengiringi tarian ini akan
bertambah rancak. Menurut Wak Naim “Jika alunan muzik tidak rancak,
penari-penari akan akan menerkam atau menendang pemain muzik seakan-akan kuda
yang sedang berang.” Mereka akan menari selama dua jam sehingga mengalami
keadaan bersawai, terpukau dengan kehebatan pergerakan-pergerakan mereka.
Ketika mabuk, mereka kekadang akan bermimpi menunggang kuda yang benar sambil
menari-nari dengan iringan muzik. Disebabkan itu, mereka mencuba mengejar muzik
itu.
Apabila
gerak langkah penari-penari itu semakin liar dan tidak dapat dikawal, Tok Bomoh
akan mengarahkan pengawal-pengawal yang ditempatkan di setiap sudut gelanggang
untuk menangkap dan merebahkan mereka ke tanah, dan seterusnya Tok Bomoh akan
membaca jampi untuk memulihkan mereka, Tok Bomoh akan membaca mentera ke
ubun-ubun atau telinga mereka setelah mereka ditangkap dan direbahkan oleh
pegawal-pegawal yang cekap.Setelah itu mereka akan pulih dalam keadaan letih
lesu. Menurut Wak Naim juga “adalah dipercayai bahawa selain dari hiburan,
tarian kuda kepang juga boleh digunakan untuk menyembuhkan penyakit ganjil
seperti dirasuk hantu,diresapi roh orang mati dan sebagainya.” Dibawah
merupakan mentera yang dibaca oleh Tok Bomoh untuk memulihkan para penari.
[xviii]"Bi
`s-mi `llahi `r-rahmani `r-rahimMalaikat wadi wadi manikamSing jogo darang
tulangKulit tulangPulih podo bahayaBukan aku kabeh jampiBukan aku punya
tangkaldengan kalimah sudah tibaberkat doaLa ilaha Illa `llahMuhammad
`r-rasulullah".
Maksud mentera tersebut ialah ,
meminta jin-jin yang meresap dalam darah, tulang dan kulit para penari untuk
keluar, dan membolehkan para penari dalam keadaan biasa. Apabila dilihat setiap
perkataan dalam mentera tersebut ,dapat menimbulkan kecelaruan untuk
ditafsirkan oleh para pendengar dan apabila mereka menuturkannya sendiri,
kerana seseorang itu menyebut nama “ Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihi”
selum memanggil jin-jin. Perkara ini lebih tidak menentu apabila ungkapan
mentera tersebut diakhiri dengan kahlimah syahadah , seperti yang terdapat
didalam contoh diatas. Hal ini dianggap sebagai istihza atau persenda.
(b) Pantang Larang
Keunikan
dalam tarian Kuda Kepang meliputi pantang larang yang terdapat dalam tarian
tersebut. Pantang larang merupakan suatu peraturan yang biasanya diguna pakai
sejak zaman dahulu. Perkataan pantang ini membawa maksud larangan iaitu melakukan
sesuatu perkara dan sekiranya larangan ini tidak dipatuhi akan membawa akibat
yang buruk. Tarian kuda kepang mempunyai pantang larangnya yang tersendiri yang
perlu dipatuhi bagi mengelakkan sesuatu yang tidak dingini berlaku.
Pantang
larang yang diwujudkan bertujuan untuk memastikan nilai keunikan yang terdapat
dalam tarian kuda kepang dapat dikekalkan. Pantang larang yang pertama ialah
pantang larang sebelum memulakan tarian kuda kepang. Terdapat kepercayaan yang
menyatakan, kuda kepang dipengaruhi oleh roh atau sejenis kuasa ghaib yang
memerlukan upacara khas sebelum bermain bagi mengelakkan sesuatu yang tidak
diingini meninpa para pemain mahupun para penontonnya. Upacara ini dimulakan
dengan pemujaan roh oleh bomoh dengan menyediakan sajian untuk penunggu, bomoh
akan menjampi untuk memulakan istiadat pembukaan gelanggang.
Seterusnya
, [xix]pantang
larang kepada penari tarian kuda kepang. Kain berwarna merah merupakan salah
satu pantang larang kepada para penari dan pantang larang ini ialah semula jadi
yang utama. Menurut Wak Naim “Pemain kuda kepang turut tidak dibenarkan
terlihat mahupun melihat kaca atau pun sepihan kaca”. Hal ini demikian kerana
pemain kuda kepang yang telah ‘naik syeikh’ atau mabuk mereka mampu melakukan
perbuatan atau gerakkan yang luar biasa dan sekiranya mereka terlihat kacau
atau sepihan kaca ditakuti mereka akan memakan kaca atau sepihan kaca tersebut.
Selain itu,para penari juga tidak boleh diacah semasa dalam persembahan atau
ketika mereka ‘naik syeikh’ atau pun tidak kerana ditakuti akan melarat dan
menjadikan keadaan tidak terkawal.
Muzik
memainkan peranan yang penting dalam tarian kuda kepang Pemain alat muzik dalam
tarian kuda kepang juga mempunyai pantang larang tersendiri. Para pemain alat muzik perlu memainkan muzik
mengikut keadaan penari kuda kepang kerana dikhuatiri pemain kuda kepang akan
berang terhadap pemain muzik. Contohnya semasa para penari kuda kepang sedang ‘naik
syeikh’ atau mabuk , para pemain muzik hendaklah merancakkan alunan muzik
mengikut rentak penari kerana, dikuatiri penari kuda kepang akan naik berang
dan akan menendang atau menerkam pemain muzik.
[xx]Selain
itu, anyaman kuda kepang yang digunakan semasa tarian kuda kepang turut
mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Kuda kepang yang digunakan semasa
menari perlu disimpan atau diletakkan di suatu tempat yang khusus seperti dalam
bilik penyimpanan. Hal ini demikian kerana jika anyaman kuda kepang ini diletak sebarangan dan tidak dijaga dengan
baik akan menyebabkan roh kuda kepang itu mengamuk dengan merosakkan
pertunjukkan-pertunjukkan yang akan datang.
Pantang
larang tarian kuda kepang bukan sahaja melibatkan pemain kuda, kuda kepang dan
pemain alat muzik tetapi turut melibatkan para penonton. Para penonton dilarang
untuk mencaci penari kuda kepang kerana ditakuti akan menerima musibah. Para
penonton juga tidak digalakkan terlalu menghayati alunan muzik yang dimainkan
dikuatiri mereka akan ‘naik syeikh’ semasa menonton persembahan tersebut. Hal
yang demikian telah memberi keunikan tersendiri kepada tarian kuda kepang.
(c)
Pengeras
[xxi]Dalam
persembahan kuda kepang para penganjur atau tuan rumah akan menyediakan sedikit
pengeras atau bayaran berupa sajian seperti beberapa butir kemeyan, tempat bara
membakar kemeyan, nasi campur dengan lauk ayam dan sayur, air metah secerek,
beberapa jenis kuih dan yang paling penting sekali ialah wang sebanyak RM2.25
yang diserahkan oleh tuan rumah atau penganjur untuk Tok Bomoh dan bayaran bagi
setiap persembahan yang diadakan adalah tidak kurang daripada RM200.
Perkembangan
Tarian
Kuda Kepang telah wujud sejak zaman dahulu lagi, malah ada yang mengatakan
tarian ini mula bertapak diMalaysia pada tahun 1955 dan tarian ini masih
diamalkan sehingga sekarang. Oleh itu, terdapat beberapa perubahan yang berlaku
dalam tarian ini mengikut peredaran zaman.
Antaranya ialah yang pertama kawasan
persembahan. Jika dahulu persembahan akan dilakukan dikampung dan waktu-waktu
tertentu seperti meraihkan perayaan. Kini persembahan kuda kepang juga boleh
dibuat di majlis-majlis perkahwinan , majlis akikah, muzium malahan di majlis
tertentu di Universiti turut sering dipersembahkan untuk persembahan pembukaan
di majlis tersebut. Hal ini bermakna tarian Kuda Kepang telah diterima oleh
masyarakat di Malaysia.
Seterusnya, perubahan dalam tarian
kuda kepang ialah alunan muzik. Oleh kerana persembahan tarian ini sering
dibuat di pelbagai majlis alunan muzik tidak terlalu rancak untuk mengelakkan
para penari ‘naik syeikh’ dan mabuk. Hal ini menyebabkan tempoh yang diambil
untuk persembahan adalah singkat dan sangat bersesuaian dengan majlis tersebut.
Selain itu, perubahan yang amat
ketara dalam tarian Kuda Kepang ialah [xxii]pertambahan
penari wanita, jika dahulu tarian ini
dikuasai penuh oleh kaum lelaki sahaja kerana apabila para penari mula ‘naik
syiekh’ mereka akan bertindak diluar
kawalan , oleh itu kaum wanita tidak digalakkan menyertai tarian tersebut.
Kini, tarian tersebut telah menerima penari wanita dan membuat tarian ini lebih
menarik.
Pertubuhan Tarian Kuda Kepang
Berikutan
beredaran masa generasi muda semakin
meninggalkan tarian ini walhal tarian kuda kepang merupakan warisan budaya.
Oleh itu, terdapat beberapa pertubuhan yang wujud bagi memelihara warisan
budaya ini. Antaranya ialah [xxiii]Pertubuhan
Seni Kuda Kepang Sinar Warisan di Sungai Nibong, Batu Pahat Johor yang diketuai
oleh Encik Naim Marjani atau lebih dikenali sebagai Wak Naim, dan Persatuan Seni Muzik Kuda Kepang, di Kampung
Serapat, Batu Pahat Johor.
Walaupun
tarian ini telah berkembang dalam masyarakat di Malaysia , namun terdapat
segelintir masyarakat turut menentang tarian ini untuk dipersembahkan kerana
tarian ini mengandungi unsur-unsur spiritual yang boleh mengkhayalkan si penari
apabila menari tarian ini dan terdapat unsur-unsur tahyul dan khurafat yang
mungkin boleh menyesatkan penari.
KESIMPULAN
Keunikan kesenian tarian kuda kepang
amat bernilai dan hendaklah dijaga dan diteruskan oleh generasi muda agar
kesenian ini tidak ditelan zaman, kewujudan pelbagai pertubuhan amat digalakkan
untuk terus memelihara kesenian tersebut.
[iii] Tarian Kuda Kepang (Siri Anjung Pewaris Seni),
23/01/2013, 2.00pm,halaman 1-3
[iv]
Tarian Kuda Kepang (Siri Anjung
Pewaris Seni), 23/01/2013, 2.10pm, halaman 5-10
[v] Iman Ahmad , Persembahan (
Siri Warna-warna Malaysia),11/01/2013, 1.20pm, halaman 32-36, perenggan 2-3
[viii] Muhammad Ghouse Nasruddin, Muzik Tradisional Malaysia,11/01/2013,1.30pm
,halaman 109,perenggan 3
[ix] Muhammad Ghouse Nasruddin,
Muzik Tradisional Malaysia, 11/01/2013,12.45pm,halaman 110 , perenggan 1-3
[x]
Muhammad Ghouse Nasruddin, Muzik Tradisional Malaysia,12/01/2013,2.25pm,
halaman 111-112,perenggan 3-4
[xi] Muhammad
Ghouse Nasruddin, Muzik Tradisional Malaysia,12/01/2013, 3.04pm, halaman
114-118,perenggan 1
[xiii] Muhammad
Ghouse Nasruddin, Muzik Tradisional Malaysia,12/01/2013, halaman 127-130,perenggan
5
[xiv] Iman Suffiya, Seni Tarian
Tradisional (siri Warisan Budaya Malaysia), 10/02/2013,2.15p,halaman 17
[xvii] Tarian Kuda Kepang (Siri Anjung Pewaris Seni),23/01/2013,
2.35pm, halaman 40
[xix] Norainiee Shah,Keunikan
Tarian Tradisional (Siri Aneka Tarian),28/02/2013,2.25pm, halaman 123-130,
perenggan 4
[xx] Norainiee Shah,Keunikan Tarian
Tradisional (Siri Aneka Tarian), 28/02/2013, 3.00pm,halaman 123-130
[xxii] Tarian Kuda Kepang (Siri Anjung
Pewaris Seni), 23/02/2013, 1.00pm, halaman 43
Diarapkan dapat memberi manfaat yang baik kepada semua .
Jika terdapat kesalahan , sila perbetulkan.